Showing posts with label Program. Show all posts
Showing posts with label Program. Show all posts

Monday, December 27, 2010

Jentera DHPP siap sedia turun ke Tenang

KUALA LUMPUR, 27 Dis: Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sudah mengatur perancangan untuk mendekati pengundi khususnya pengundi muda di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang.

Ketuanya, Balendran Balasubramaniam berkata, pihaknya bersama lajnah perpaduan nasional PAS juga sedang merangka isu-isu yang akan diketengahkan sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Tenang.

Menurut beliau yang juga ketua DHPP Pahang, jentera pemuda DHPP peringkat negeri Pahang telah pun dikumpulkan dan diberikan taklimat khas mengenai PRK Tenang.
"Dua hari lepas saya kumpulkan pemuda-pemuda DHPP di Pahang untuk kita bergerak ke Tenang.

"Saya bersama lajnah perpaduan nasional pemuda pemuda sudah bagi penerangan kepada mereka bagaimana kita nak pergi jumpa pengundi," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Balendran memberitahu, antara isu yang akan dijelaskan kepada pengundi termasuk isu saman ekor yang ingin diswastakan kerajaan dan juga isu-isu setempat di Dun berkenaan seperti isu peneroka Felda.

"Kita akan mulakan dengan isu saman ekor yang nak diswastakan sekarang ini dan juga isu-isu setempat. Isu-isu begini mereka akan lebih mudah faham dan kita akan jelaskan kenapa mereka perlu memilih Pakatan Rakyat," katanya.

DHPP juga ujarnya akan membantu Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) memberikan penerangan kepada pengundi-pengudi di Felda dalam Dun berkenaan.
"Untuk golongan Felda, memang kita peka isu mereka dan Mazlan Aliman pun dah bawa isu Felda jadi kita akan bantu beri penerangan dan isu berkaitan Felda akan kita tekankan.

"Saya yakin bila DHPP dapat masuk ke kawasan Felda dan dapat berkempen di sana, mesti boleh bagi kefahaman kepada mereka kenapa bukan Islam boleh sokong PAS, kenapa mereka tidak? Anak muda Felda pun sudah cenderung kepada Pakatan," katanya lagi.

Edar risalah

Sementara itu, Balendran berkata, edaran risalah juga amat penting sebagai bahan kempen kerana ia lebih berkesan untuk menyampaikan maklumat kepada seluruh pengundi berbanding ceramah.

"Kami juga akan menyediakan risalah untuk diedarkan kerana sebelum ini dari pemerhatian kita, kalau kita bentangkan isu-isu dalam ceramah, keberkesanannya kurang kerana kadang-kadang orang yang sama datang dengar ceramah.

"kadang-kadang orang balik kerja penat, tak sempat pergi dengar ceramah malamnya jadi boleh tengok bahan edaran yang diedar ke rumah mereka," katanya.
Bagaimanapun katanya, ceramah tetap perlu diteruskan sebagai aktiviti wajib khususnya kepada penyokong-penyokong PAS dan Pakatan yang sudah sebati dengan program sedemikian.

Sehubungan itu, DHPP akan mengadakan perbincangan dengan Dewan Penyokong PAS Pusat dalam masa terdekat bagi membincangkan rangka risalah untuk dijadikan bahan edaran.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi kerusi dun berkenaan yang terletak di Parlimen Labis, Johor pada 22 Januari depan dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 30 Januari.

sumber: Harakahdaily

Saturday, May 22, 2010

Jemputan ke Pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS

Presiden PAS lancar Dewan Himpunan Penyokong PAS



Presiden PAS lancar Dewan Himpunan Penyokong PAS
Ditulis oleh Harakah
TUESDAY, 11 Mei 2010 06:41

KUALA LUMPUR, 11 Mei - Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan merasmikan pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS, 23 Mei ini di Pejabat Tanah Klang.


Dewan Himpunan Penyokong PAS yang mempunyai keahlian seramai 20, 000 orang merupakan pengukuhan Kelab Penyokong PAS yang ditubuhkan sejak tahun 2005.

Menurut Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Dr. Mujahid Yusuf, dengan pengukuhan tersebut, ahli-ahli sayap PAS itu boleh menyertai Muktamar PAS dan mengikuti muktamar di peringkat negeri.


Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, selain Presiden PAS, pimpinan PAS yang lain turut dijemput menyertai majlis bersejarah itu.


"Pelancaran Dewan Himpunan PAS ini akan mencipta sejarah dalam PAS bagi membuktikan PAS kini semakin mendapat sokongan bukan ISlam. Dengan pelancaran tersebut juga, ahli Kelab Penyokong PAS secara langsung akan menjadi sebahagian sayap PAS," katanya.


Mujahid berkata, majlis tersebut juga akan diserikan dengan persembahan pelbagai kaum.


Dalam perkembangan berkaitan, Mujahid meminta setiap Pesuruhjaya PAS Negeri memastikan negeri menghantar wakilnya bagi menjayakan majlis yang gilang gemilang itu.


Capaian Lain: Harakahdaily