Saturday, June 4, 2011

PAS perlu perkasakan Dewan Himpunan

KUALA LUMPUR, 4 Jun: PAS perlu mengukuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sekiranya ingin menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi.

Bercakap pada perbahasan sidang Muktamar PAS kali ke-57 Khairul Faizi Ahmad Kamil menjelaskan PAS perlu merapatkan hubungan dengan masyarakat bukan Islam yang menjuruskan kepada perwakilan daripada DHPP.

Beliau juga perwakilan kawasan Kluang, Johor mempersoalkan peranan Dewan Himpunan yang dipinggirkan dalam persidangan tersebut.

"Kita lihat semua perwakilan berucap dan berbahas di sini, tetapi kita tidak mendengar lagi suara daripada Dewan Himpunan," kata beliau sewaktu perbahasan sebentar tadi.

Beliau juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, mengharapkan PAS pusat supaya memberikan peruntukan khas kepada Dewan Himpunan yang lebih 20,000 keahlian itu agar dapat lagi memperkasakan dewan tersebut dalam jentera parti.

Ketua Dewan Pemuda PAS Johor itu, turut menegaskan bahawa Dewan Himpunan perlu dan berhak dipanggil dalam mesyuarat PAS pusat selepas ini bagi mengelak dewan tersebut dipinggirkan.

Selain itu, beliau turut menyampaikan cadangan kepada pimpinan PAS pusat supaya ada satu pengukuhan lajnah diperingkat negeri dan fungsi dan pergerakan lajnah tersebut dapatlah diperkasakan sekiranya dipimpin oleh salah seorang daripada naib presiden yang diumumkan menang bertanding sebentar tadi.

Dalam kemeriahan persidangan PAS kali ini, beliau juga sebagai wakil PAS negeri Johor mencubit hadirin perwakilan yang hadir dengan isu fitnah dan tomahan yang terlalu banyak dilemparkan oleh musuh-musuh PAS sewaktu muktamar kali ini dan isu fitnah sebelum serta mungkin selepas muktamar ini.

Wakil PAS Johor itu menegaskan PAS pusat perlu mengadakan satu langkah untuk menangani isu ini.

"Kita perlu mempergiatkan langkah untuk masyarakat tahu pekara yang sebenarnya.

"Kita tidak mahu diri kita difitnah sedangkan kita mahu masyarakat tahu yang pihak Umno itu sendiri adalah pemfitnah," jelas beliau mendapat sorakan gemuruh hadirin.

Tuesday, January 25, 2011

DHPP Sedia Berdebat MCA dan Gerakan


LABIS, 24 Jan - Hu Pang Chaw, Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP) meminta parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA dan Gerakan jangan memutarbelitkan isu Islam demi kepentingan politik.

Menurut beliau, sekiranya MCA dan Gerakan faham berkenaan Islam, sudah pasti mereka tidak akan menakutkan pengundi-pengundi Cina di Dun Tenang dengan kenyataan yang negatif terhadap Islam.

"Jangan tunjuk kepandaian dengan agak mereka itu seperti seorang imam," ujarnya mengulas isu calon PAS Normala Sudirman yang enggan bersalam dengan lelaki dalam kempen pilihan DUN Tenang yang dibangkitkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Bukan Presiden MCA itu sahaja, malah Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe yang turut memainkan isu ini lambang orang agama dalam Umno gagal menerapkan Islam dalam BN.

Jelas Hu, ada tradisi negara luar yang tidak bejabat tangan seperti wanita di Thailand. Mereka tidak berjabat tangan dengan lelaki.

"DHPP menyokong perjuangan PAS, mencabar MCA untuk berdebat secara terbuka jika isu ini jika mereka masih tidak faham," tambahnya ketika menjawab temubual wartawan Sinar.

Dalam perkembangan sama, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata PAS bangga DAP, PKR jawab isu bersalam.

"PAS merasa bangga isu bersalam itu dijawab oleh rakan-rakan DAP dan PKR yang bukan Islam," jelasnya.

sumber: Web PRK Tenang

Friday, January 14, 2011

PAS cadang dialog selesai isu azan

KUALA LUMPUR, 14 Jan: PAS Lembah Pantai mahu semua pihak yang terbabit dalam isu membantah azan di Masjid Ikhlasiah, Lembah Pantai mencarai jalan penyelesaian secara rasional bukan emosional.

Yang Dipertua PAS Lembah Pantai, Adlin Soleh dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebarang kaedah penyelesaian berbentuk konfrantasi hanya akan merumitkan lagi keadaan.

"Kita menolak sebarang bentuk konfrantasi yang tidak akan menyelesaikan masalah untuk jangka masa panjang.

"Oleh itu, PAS Lembah Pantai menawarkan dialog diantara kedua-dua pihak bagi menyelesaikan masalah ini,"katanya.

Apa yang penting dalam isu ini tegasnya, masyarakat bukan Islam perlu memahami dan diberi kefahaman tentang hak orang Islam mengamalkan agama termasuk dalam isu azan.

Di Malaysia katanya, bukan sekadar izu azan malah masyarakat Islam yang hidup berdekatan dengan rumah ibadah bukan Islam juga akan terdengar suara atau terbau tempias daripada upacara keagamaan agama lain.

"Kita juga memahami hak mereka beragama dan mengamalkan upacara agama mereka.

"Namun, jika kesemuanya dibangkitkan tanpa ada toleransi, ia akan mencetuskan suasana tegang dan tidak harmoni dalam negara kita," katanya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu bantahan azan yang didakwa 'terlalu lantang' di Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi oleh seorang peguam, sehingga pembesar suara di masjid tersebut terpaksa diperlahankan.

Peguam tersebut yang tinggal di pangsapuri Pantai Hill Park didakwa menghantar terus surat aduannya kepada perdana menteri sebelum dipanjangkan kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri dan JAWI serta akhirnya dimaklumkan kepada pihak masjid.

Dalam surat yang salinannya diberi oleh JAWI kepada pihak masjid, peguam itu mendakwa bunyi solat Subuh di masjid itu 'amat lantang' sehingga mengejutnya dari tidur

Sumber: Harakahdaily

Interlok: Bimbang ada perangkap politik


BANGI, 13 Jan: Pemuda PAS Pusat berjaya mempertemukan kumpulan sasterawan, seniman dan budayawan bersama dengan wakil-wakil NGO India petang tadi bagi membincangkan berkaitan isu novel Interlok.

Perbincangan berlangsung dalam suasana yang sangat harmoni dan matang, tidak ada sebarang pergaduhan dan pertelingkahan sepertimana yang berlaku di Klang sebelum ini.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat yang mempengerusikan perbincangan tersebut dalam kenyataan medianya merumuskan 3 perkara iaitu kedua-dua pihak sepakat menghormati karya seni hasil penulisan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain.

Selain itu, kedua-dua pihak juga khuatir adanya perangkap politik, oleh pihak yang sengaja membangkitkan isu sensitif tersebut.

Sebarang aktiviti pembakaran juga adalah ditolak kerana ruang perbincangan sepatutnya diutamakan.

Walaubagaimanapun ada beberapa perkara yang masih belum dapat diputuskan bersama dan perbincangan seterusnya akan diadakan pada 19 Januari, jam 2.30 petang bertempat di kompleks PKNS, di sini.

Menurut Dinsman yang mewakili kumpulan sasterawan, peristiwa hari ini merupakan suatu yang sangat berharga apabila dalam suasana politik yang sangat panas berkaitan isu Interlok dua kumpulan iaitu sasterawan dan kaum India dapat duduk bersama dan berbincang.

"Tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku, walaupun belum ada keputusan sebulat suara yang boleh diputuskan tapi dialog berlangsung dalam keadaan yang cukup baik.

"Pertemuan seterusnya, persefahaman akan lebih baik dan akan berjaya menghasilkan satu titik pertemuan," katanya.

Balasubaramaniam, Timbalan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) pula merasa sedih dan dukacita kerana ada pihak-pihak yang membakar novel tersebut.

Pada pandangan beliau, perkara itu berlaku kerana pemimpin negara tidak cuba memikirkan suatu cara yang konkrit untuk menyelesaikan masalah itu.

"Saya sangat berterima kasih kepada Dewan Pemuda PAS Pusat kerana melakukan perkara yang paling betul," kata beliau.

Katanya juga, sebenarnya orang-orang India boleh menerima novel dan penulis novel itu.

"Yang menjadi pertikaian sekarang ini ialah novel itu dijadikan buku teks di dalam sekolah menengah," tambahnya.

Perjumpaan tadi disertai oleh wakil-wakil dari Malaysian India Movement, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Hindraf, Malaysia India Voice (MIV), Seniman Paksi Rakyat Malaysia (Paksi) dan seniman-seniman dan budayawan-budayawan tanahair.

Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar turut hadir.


Sumber: harakahdaily

Monday, December 27, 2010

Jentera DHPP siap sedia turun ke Tenang

KUALA LUMPUR, 27 Dis: Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sudah mengatur perancangan untuk mendekati pengundi khususnya pengundi muda di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang.

Ketuanya, Balendran Balasubramaniam berkata, pihaknya bersama lajnah perpaduan nasional PAS juga sedang merangka isu-isu yang akan diketengahkan sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Tenang.

Menurut beliau yang juga ketua DHPP Pahang, jentera pemuda DHPP peringkat negeri Pahang telah pun dikumpulkan dan diberikan taklimat khas mengenai PRK Tenang.
"Dua hari lepas saya kumpulkan pemuda-pemuda DHPP di Pahang untuk kita bergerak ke Tenang.

"Saya bersama lajnah perpaduan nasional pemuda pemuda sudah bagi penerangan kepada mereka bagaimana kita nak pergi jumpa pengundi," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Balendran memberitahu, antara isu yang akan dijelaskan kepada pengundi termasuk isu saman ekor yang ingin diswastakan kerajaan dan juga isu-isu setempat di Dun berkenaan seperti isu peneroka Felda.

"Kita akan mulakan dengan isu saman ekor yang nak diswastakan sekarang ini dan juga isu-isu setempat. Isu-isu begini mereka akan lebih mudah faham dan kita akan jelaskan kenapa mereka perlu memilih Pakatan Rakyat," katanya.

DHPP juga ujarnya akan membantu Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) memberikan penerangan kepada pengundi-pengudi di Felda dalam Dun berkenaan.
"Untuk golongan Felda, memang kita peka isu mereka dan Mazlan Aliman pun dah bawa isu Felda jadi kita akan bantu beri penerangan dan isu berkaitan Felda akan kita tekankan.

"Saya yakin bila DHPP dapat masuk ke kawasan Felda dan dapat berkempen di sana, mesti boleh bagi kefahaman kepada mereka kenapa bukan Islam boleh sokong PAS, kenapa mereka tidak? Anak muda Felda pun sudah cenderung kepada Pakatan," katanya lagi.

Edar risalah

Sementara itu, Balendran berkata, edaran risalah juga amat penting sebagai bahan kempen kerana ia lebih berkesan untuk menyampaikan maklumat kepada seluruh pengundi berbanding ceramah.

"Kami juga akan menyediakan risalah untuk diedarkan kerana sebelum ini dari pemerhatian kita, kalau kita bentangkan isu-isu dalam ceramah, keberkesanannya kurang kerana kadang-kadang orang yang sama datang dengar ceramah.

"kadang-kadang orang balik kerja penat, tak sempat pergi dengar ceramah malamnya jadi boleh tengok bahan edaran yang diedar ke rumah mereka," katanya.
Bagaimanapun katanya, ceramah tetap perlu diteruskan sebagai aktiviti wajib khususnya kepada penyokong-penyokong PAS dan Pakatan yang sudah sebati dengan program sedemikian.

Sehubungan itu, DHPP akan mengadakan perbincangan dengan Dewan Penyokong PAS Pusat dalam masa terdekat bagi membincangkan rangka risalah untuk dijadikan bahan edaran.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi kerusi dun berkenaan yang terletak di Parlimen Labis, Johor pada 22 Januari depan dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 30 Januari.

sumber: Harakahdaily