Thursday, January 28, 2010

Ucapan Selamat Tahun Baru Cina 2010

Pemuda PAS Kutuk Tindakan Hina Masjid, Kerajaan Bertanggungjawab.

Dewan Pemuda PAS Gombak kesal atas tindakan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang sanggup menghina rumah Allah dengan meletakkan kepala babi di situ.

Pemuda PAS Gombak yakin ia adalah tindakan terkutuk bagi memanipulasi isu kalimah Allah sehingga tergamak melakukan tindakan keji menghina tempat ibadah di dua masjid di Taman Datuk Harun di Petaling Jaya dan Masjid Al-Imam Al-Tirmizi, Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.
Ia adalah rentetan kelemahan kerajaan menangani isu kalimah Allah yang semakin hangat selepas keputusan mahkamah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat Kristian.

Justeru, Pemuda PAS Gombak menggesa kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Najib Razak untuk menangani isu ini dengan lebih bijaksana.

Tindakan-tindakan ”double standard” kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Umno/BN menampakkan kesan negatif yang bermula daripada insiden mambakar gereja, seterusnya membakar surau dan kini meletakkan kepada babi di masjid.

Jika kerajaan Umno/BN masih dengan sikap sebegini, Pemuda PAS Gombak yakin akan banyak lagi insiden-insiden buruk di luar jangkaan akan berlaku di seluruh negara.

Sehingga ke hari ini, sudah lebih 10 rumah ibadat yang termasuk surau, masjid dan gereja telah menjadi sasaran tindakan-tindakan provokatif pihak akibat ketidakpandaian kerajaan menangani isu ini secara bijaksana.

Justeru, Pemuda PAS Gombak menggesa kerajaan Umno/BN mencontohi tindakan yang diambil oleh PAS dan Pakatan Rakyat yang menangani isu ini dengan jalan muzakarah dan perbincangan.


Ustaz Syarhan Humaizi Abd Halim

Ketua Pemuda PAS Gombak

27 Januari 2010

www.pemudagombak. com

Monday, January 25, 2010

Wednesday, January 13, 2010

Pertubuhan Islam AS lancar dana baiki gereja dibom

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 13 Jan: Demi membuktikan Islam sebagai agama yang adil, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam antarabangsa, Dewan Persaudaraan Umat Islam Amerika (CAIR) semalam melancarkan tabung derma untuk membaiki beberapa gereja yang dibom di Malaysia.

Bercakap pada pemberita di Washington, Pengarah Eksekutif Kebangsaan CAIR, Nihad Awad menjelaskan dana sumbangan tersebut akan diserahkan kepada Duta Malaysia di Amerika Syarikat dalam masa terdekat.

Menurut beliau, inisiatif tersebut demi menunjukkan bahawa ajaran Islam Islam yang sebenar mengajar penganutnya melindungi semua rumah ibadat.

"(Baik) Muslim di Amerika, Malaysia hatta seluruh dunia harus membantu melindungi semua rumah ibadat, dan dengan (berbuat) demikian menunjukkan semangat (ajaran) Islam yang hakiki," kata Nihad sebagaimana dipetik dari laman web rasmi CAIR, www.cair.com

Jelas Nihad lagi, inisiatif CAIR membantu membiayai gereja-gereja yang dimusnahkan tersebut merupakan simbol komitmen umat Islam Amerika terhadap toleransi beragama dan keamanan.

"(CAIR mewakili) Muslim Amerika merupakan salah satu simbol komitmen (persaudaraan Islam) terhadap toleransi antara (penganut) agama dan menghargai kehidupan yang damai dengan membantu membaiki semula gereja-gereja yang rosak," jelasnya.

Beliau turut menyeru semua pihak berwajib yang beragama Islam supaya memandang serius beberapa insiden terbabit.

"(Sebagai) Muslim, (sepatutnya) tidak boleh berpeluk tubuh melihat mana-mana rumah ibadat sekali pun (termasuk masjid) dari diserang.

"Masyarakat kita (Muslim Amerika) seharusnya serius (memandang pengeboman gereja) dan akan mengambil beberapa inisiatif supaya (rakyat melihat) ketinggian moral sebagaimana yang ditunjukkan (pada) prinsip-prinsip Islam," jelasnya.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu dan beragama Islam supaya mewujudkan hubungan yang baik dengan masyarakat bukan Islam melalui dialog yang konstruktif.

Tambah Nihad lagi, seruan tersebut berdasarkan perintah Allah dalam ayat 46 dari Surah al-Ankabut yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu berdialog dengan Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi), melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali (khususnya) dengan orang-orang cerdik pandai di antara mereka (pula), dan (lalu) katakanlah: Kami telah beriman kepada (kitab-kitab samawi) yang diturunkan kepada kami (iaitu al-Quran) dan yang diturunkan kepada kamu (iaitu Injil, Taurah dan Zabur); Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu dan kami hanya berserah diri kepada-Nya."

Beliau turut menjelaskan keadilan Khalifah Umar al-Khattab ketika menerima kunci Baitulmuqaddis daripada seorang Patriak Sophronius lalu diminta bersolat di dalam gereja, tetapi Umar menolak permintaan demikian kerana bimbang rumah ibadat bagi penganut Kristian tersebut akan berubah menjadi masjid disebabkan ketokohan Umar di sisi rakyat berbilang agama di kota suci tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, para pemimpin PAS serta Pakatan Rakyat sebelum ini sekeras-kerasnya mengutuk pengeboman tersebut.

Dalam pada itu, beberapa media arus perdana pula dilihat seolah-olah cuba memanipulasi emosi masyarakat Islam dan bukan Islam, sejak Mahkamah Tinggi menolak permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melarang Gereja Katholik dari menggunakan kalimah 'Allah' dalam akhbar mingguan, The Herald pada 31 Disember tahun lalu.

Manakala, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan terus membuat penafian bahawa Umno mendalangi beberapa aksi keganasan ke atas gereja-gereja terbabit.

sumber: Harakahdaily

Isu Kalimah Allah : Apa Lagi Selepas Gereja Dibakar?

Salam Perjuangan…

Semasa menerima berita daripada sdr Kamaruzaman, Setiausaha Pemuda PAS Pusat bahawa terdapat beberapa gereja telah dibakar di sekitar Lembah Klang, tiba-tiba menyebabkan hati saya berdebar-debar. Pelbagai persoalan telah berlegar-legar dalam kotak pemikiran saya tentang apa yang sebenarnya sedang berlaku dan sedang dirancang dalam negara kita ini. Apakah ia sesuatu yang telah dirancang secara teliti oleh pihak-pihak tertentu untuk menghuru-harakan keadaan atapun ia sebagai satu tanda bahawa kebangkitan umat Islam yang berlaku secara tiba-tiba kerana kepekaan untuk mempertahankan kalimah Allah.

Sebelum ini, saya ada menulis tentang dua sikap yang berbeza yang diekspresikan oleh Perdana Menteri Malaysia dan Ketua Polis Negara. PM mengambil sikap untuk membenarkan perhimpunan mempertahankan Kalimah Allah manakala KPN pula memberikan amaran untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan demonstran ini. PM Najib Razak sebelum ini telahpun meminta agar rakyat supaya betenang tetapi tiba-tiba mengambil keputusan berbeza dengan membenarkan pula himpunan tersebut diadakan.

Kerana bimbang akan berlakunya lebih banyak keganasan berlaku maka Ketua Pemuda PAS Pusat mengambil tindakan segera dengan mengeluarkan satu kenyataan media menyeru agar semua pihak bertenang dan tidak bertindak keterlaluan dalam isu penggunaan nama Allah sehingga boleh menimbulkan ketegangan dan kekacauan.

Manakala YB Salahuddin Ayub meletakkan kesalahan ini di atas bahu PM yang memberikan ruang kepada NGO yang pro UMNO ini mengadakan demonstrasi yang akhirnya membangkitkan tindakan luar kawalan sehingga menyebabkan beberapa gereja dibakar.

Saya tidak mahu menyalahkan kepada para pengikut demonstrasi yang diadakan di mana-mana masjid kerana bertindak untuk menyuarakan hasrat hati mereka namun saya masih lagi tertanya-tanya apakah kita tidak sedar bahawa Mahkamah Tinggi telah menangguhkan pelaksanaan perintah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald - The Catholic Weekly berikutan persetujuan Menteri Dalam Negeri dan Gereja Katolik demi kepentingan negara.

Saya tetap melihat bahawa tindakan membakar gereja sebagai tindakan yang tidak menggambarkan kehendak dalam menangani isu ini. Jika gereja pun telah dibakar maka tidakkah tindakan yang lebih ganas lagi akan dilakukan selepas ini? Sebab itu saya cukup bimbang bahawa krisis ini akan menjadi lebih meruncing selepas peristiwa pembakaran gereja ini.

Apapun, kita perlu kembali kepada Islam secara TOTAL.

Saya akan menulis lagi tentang perkara ini kerana saya percaya ia perlu diberikan perhatian yang serius oleh semua pihak.

Wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

Dewan MBSA, Shah Alam

Penulis merupakan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional & NGO, Dewan Pemuda PAS Pusat

Sumber: http://minda-kembara.com/v2008/?p=2158