Salam Perjuangan…
Semasa menerima berita daripada sdr Kamaruzaman, Setiausaha Pemuda PAS Pusat bahawa terdapat beberapa gereja telah dibakar di sekitar Lembah Klang, tiba-tiba menyebabkan hati saya berdebar-debar. Pelbagai persoalan telah berlegar-legar dalam kotak pemikiran saya tentang apa yang sebenarnya sedang berlaku dan sedang dirancang dalam negara kita ini. Apakah ia sesuatu yang telah dirancang secara teliti oleh pihak-pihak tertentu untuk menghuru-harakan keadaan atapun ia sebagai satu tanda bahawa kebangkitan umat Islam yang berlaku secara tiba-tiba kerana kepekaan untuk mempertahankan kalimah Allah.
Sebelum ini, saya ada menulis tentang dua sikap yang berbeza yang diekspresikan oleh Perdana Menteri Malaysia dan Ketua Polis Negara. PM mengambil sikap untuk membenarkan perhimpunan mempertahankan Kalimah Allah manakala KPN pula memberikan amaran untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan demonstran ini. PM Najib Razak sebelum ini telahpun meminta agar rakyat supaya betenang tetapi tiba-tiba mengambil keputusan berbeza dengan membenarkan pula himpunan tersebut diadakan.
Kerana bimbang akan berlakunya lebih banyak keganasan berlaku maka Ketua Pemuda PAS Pusat mengambil tindakan segera dengan mengeluarkan satu kenyataan media menyeru agar semua pihak bertenang dan tidak bertindak keterlaluan dalam isu penggunaan nama Allah sehingga boleh menimbulkan ketegangan dan kekacauan.
Manakala YB Salahuddin Ayub meletakkan kesalahan ini di atas bahu PM yang memberikan ruang kepada NGO yang pro UMNO ini mengadakan demonstrasi yang akhirnya membangkitkan tindakan luar kawalan sehingga menyebabkan beberapa gereja dibakar.
Saya tidak mahu menyalahkan kepada para pengikut demonstrasi yang diadakan di mana-mana masjid kerana bertindak untuk menyuarakan hasrat hati mereka namun saya masih lagi tertanya-tanya apakah kita tidak sedar bahawa Mahkamah Tinggi telah menangguhkan pelaksanaan perintah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald - The Catholic Weekly berikutan persetujuan Menteri Dalam Negeri dan Gereja Katolik demi kepentingan negara.
Saya tetap melihat bahawa tindakan membakar gereja sebagai tindakan yang tidak menggambarkan kehendak dalam menangani isu ini. Jika gereja pun telah dibakar maka tidakkah tindakan yang lebih ganas lagi akan dilakukan selepas ini? Sebab itu saya cukup bimbang bahawa krisis ini akan menjadi lebih meruncing selepas peristiwa pembakaran gereja ini.
Apapun, kita perlu kembali kepada Islam secara TOTAL.
Saya akan menulis lagi tentang perkara ini kerana saya percaya ia perlu diberikan perhatian yang serius oleh semua pihak.
Wassalam
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Dewan MBSA, Shah Alam
Penulis merupakan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional & NGO, Dewan Pemuda PAS Pusat
No comments:
Post a Comment