Tuesday, January 25, 2011

DHPP Sedia Berdebat MCA dan Gerakan


LABIS, 24 Jan - Hu Pang Chaw, Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP) meminta parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA dan Gerakan jangan memutarbelitkan isu Islam demi kepentingan politik.

Menurut beliau, sekiranya MCA dan Gerakan faham berkenaan Islam, sudah pasti mereka tidak akan menakutkan pengundi-pengundi Cina di Dun Tenang dengan kenyataan yang negatif terhadap Islam.

"Jangan tunjuk kepandaian dengan agak mereka itu seperti seorang imam," ujarnya mengulas isu calon PAS Normala Sudirman yang enggan bersalam dengan lelaki dalam kempen pilihan DUN Tenang yang dibangkitkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Bukan Presiden MCA itu sahaja, malah Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe yang turut memainkan isu ini lambang orang agama dalam Umno gagal menerapkan Islam dalam BN.

Jelas Hu, ada tradisi negara luar yang tidak bejabat tangan seperti wanita di Thailand. Mereka tidak berjabat tangan dengan lelaki.

"DHPP menyokong perjuangan PAS, mencabar MCA untuk berdebat secara terbuka jika isu ini jika mereka masih tidak faham," tambahnya ketika menjawab temubual wartawan Sinar.

Dalam perkembangan sama, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata PAS bangga DAP, PKR jawab isu bersalam.

"PAS merasa bangga isu bersalam itu dijawab oleh rakan-rakan DAP dan PKR yang bukan Islam," jelasnya.

sumber: Web PRK Tenang

Friday, January 14, 2011

PAS cadang dialog selesai isu azan

KUALA LUMPUR, 14 Jan: PAS Lembah Pantai mahu semua pihak yang terbabit dalam isu membantah azan di Masjid Ikhlasiah, Lembah Pantai mencarai jalan penyelesaian secara rasional bukan emosional.

Yang Dipertua PAS Lembah Pantai, Adlin Soleh dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebarang kaedah penyelesaian berbentuk konfrantasi hanya akan merumitkan lagi keadaan.

"Kita menolak sebarang bentuk konfrantasi yang tidak akan menyelesaikan masalah untuk jangka masa panjang.

"Oleh itu, PAS Lembah Pantai menawarkan dialog diantara kedua-dua pihak bagi menyelesaikan masalah ini,"katanya.

Apa yang penting dalam isu ini tegasnya, masyarakat bukan Islam perlu memahami dan diberi kefahaman tentang hak orang Islam mengamalkan agama termasuk dalam isu azan.

Di Malaysia katanya, bukan sekadar izu azan malah masyarakat Islam yang hidup berdekatan dengan rumah ibadah bukan Islam juga akan terdengar suara atau terbau tempias daripada upacara keagamaan agama lain.

"Kita juga memahami hak mereka beragama dan mengamalkan upacara agama mereka.

"Namun, jika kesemuanya dibangkitkan tanpa ada toleransi, ia akan mencetuskan suasana tegang dan tidak harmoni dalam negara kita," katanya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu bantahan azan yang didakwa 'terlalu lantang' di Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi oleh seorang peguam, sehingga pembesar suara di masjid tersebut terpaksa diperlahankan.

Peguam tersebut yang tinggal di pangsapuri Pantai Hill Park didakwa menghantar terus surat aduannya kepada perdana menteri sebelum dipanjangkan kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri dan JAWI serta akhirnya dimaklumkan kepada pihak masjid.

Dalam surat yang salinannya diberi oleh JAWI kepada pihak masjid, peguam itu mendakwa bunyi solat Subuh di masjid itu 'amat lantang' sehingga mengejutnya dari tidur

Sumber: Harakahdaily

Interlok: Bimbang ada perangkap politik


BANGI, 13 Jan: Pemuda PAS Pusat berjaya mempertemukan kumpulan sasterawan, seniman dan budayawan bersama dengan wakil-wakil NGO India petang tadi bagi membincangkan berkaitan isu novel Interlok.

Perbincangan berlangsung dalam suasana yang sangat harmoni dan matang, tidak ada sebarang pergaduhan dan pertelingkahan sepertimana yang berlaku di Klang sebelum ini.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat yang mempengerusikan perbincangan tersebut dalam kenyataan medianya merumuskan 3 perkara iaitu kedua-dua pihak sepakat menghormati karya seni hasil penulisan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain.

Selain itu, kedua-dua pihak juga khuatir adanya perangkap politik, oleh pihak yang sengaja membangkitkan isu sensitif tersebut.

Sebarang aktiviti pembakaran juga adalah ditolak kerana ruang perbincangan sepatutnya diutamakan.

Walaubagaimanapun ada beberapa perkara yang masih belum dapat diputuskan bersama dan perbincangan seterusnya akan diadakan pada 19 Januari, jam 2.30 petang bertempat di kompleks PKNS, di sini.

Menurut Dinsman yang mewakili kumpulan sasterawan, peristiwa hari ini merupakan suatu yang sangat berharga apabila dalam suasana politik yang sangat panas berkaitan isu Interlok dua kumpulan iaitu sasterawan dan kaum India dapat duduk bersama dan berbincang.

"Tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku, walaupun belum ada keputusan sebulat suara yang boleh diputuskan tapi dialog berlangsung dalam keadaan yang cukup baik.

"Pertemuan seterusnya, persefahaman akan lebih baik dan akan berjaya menghasilkan satu titik pertemuan," katanya.

Balasubaramaniam, Timbalan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) pula merasa sedih dan dukacita kerana ada pihak-pihak yang membakar novel tersebut.

Pada pandangan beliau, perkara itu berlaku kerana pemimpin negara tidak cuba memikirkan suatu cara yang konkrit untuk menyelesaikan masalah itu.

"Saya sangat berterima kasih kepada Dewan Pemuda PAS Pusat kerana melakukan perkara yang paling betul," kata beliau.

Katanya juga, sebenarnya orang-orang India boleh menerima novel dan penulis novel itu.

"Yang menjadi pertikaian sekarang ini ialah novel itu dijadikan buku teks di dalam sekolah menengah," tambahnya.

Perjumpaan tadi disertai oleh wakil-wakil dari Malaysian India Movement, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Hindraf, Malaysia India Voice (MIV), Seniman Paksi Rakyat Malaysia (Paksi) dan seniman-seniman dan budayawan-budayawan tanahair.

Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar turut hadir.


Sumber: harakahdaily