Wednesday, July 30, 2008

Kelab Penyokong PAS lebar sayap ke Kuala Lipis

KUALA LIPIS, 30 Julai (Hrkh)- Dalam kesibukan menghadapi serangan Umno dari segenap penjuru dalam isu Muqabalah, PAS terus berkembang dan berjaya menarik sokongan masyarakat bukan Islam melalui Kelab Penyokong PAS.

Terbaru pada 26 Julai lalu satu lagi cawangan Kelab Penyokong PAS (India dan Cina) berjaya ditubuhkan dan kali ini di kawasan Parlimen Lipis.

Pengerusi Lajnah Antara Budaya PAS Pahang, Nasrul Amir Abdullah berkata, lebih 30 orang terdiri daripada kaum India dan Cina telah menyertai kelab berkenaan di Lipis dan Lipis adalah kelab ke-4 seumpama itu ditubuhkan di Pahang.

Menurutnya, angka tidak rasmi keahlian kelab penyokong PAS setakat ini berjumlah 1,000 orang.

Katanya, PAS sudah mempunyai kelab penyokongnya di Jerantut, Kuantan, Temerloh dan Lipis.
"Ia adalah suatu perkembangan menarik dan sejarah bagi PAS Lipis khususnya dan ia harus disambut gembira oleh semua pihak di dalam PAS serta rakan-rakan di Pakatan Rakyat.

"Ini kerana setiap kali berlaku penambahan ahli kelab penyokong PAS, ia bermakna bertambahlah sokongan kepada Pakatan Rakyat kerana ahli-ahli kelab ini akan menjadi penyokong Pakatan Rakyat,"katanya.

Menurut Nasrul, kini pihaknya mengalih tumpuan kepada kawasan Bentong dalam usahanya mengembangkan sayap untuk menarik penyokong dari kalangan masyarakat bukan Islam khsusnya kaum India dan Cina serta Orang Asli.

Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Timbalan pengerusi Kelab Penyokong PAS Pusat Vincet Lee; Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pahang, N. Balasubramaniam; Yang Dipertua PAS Lipis, Ramli Abdullah; Pengerusi KeADILan Rakyat Pahang, Zakaria Hamid serta pimpinan PAS serta KeADILan Bahagian Lipis.

Nasrul yakin kelab ini jika diperkemaskan akan memberi input yang baik kepada Pakatan Rakyat dan menyaingi Barisan Nasional (BN).

"Jika BN ada ahli dan penyokong dari kalangan India dan Cina, Pakatan Rakyat juga ada penyokongnya. Jika ini berlaku BN bukan lagi menjadi pilihan tunggal kepada kaum India dan Cina sebaliknya PAS dan Pakatan Rakyat turut menjadi pilihan kepada kaum berkenaan," ujarnya.

Katanya, ahli-ahli kelab penyokong ini kesemuanya adalah bekas penyokong MIC atau MCA dan mereka beramai-ramai meninggal MCA dan MIC, ia merupakan suatu tindakan berani dan tamparan kepada BN dan mereka wajar dihargai oleh PAS dan Pakatan Rakyat.

Sementara itu Vincet Lee dalam ucapannya menegaskan tiada apa yang perlu ditakuti oleh masyarakat bukan Islam terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.

Beliau mendedahkan keahlian kelab penyokong PAS kini sudah berjumlah 20,000 orang dan akan terus meningkat dari masa ke semasa. -

Sumber: http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=016073&Itemid=99

No comments: